JAKARTA: Beberapa media Indonesia yang mengkritik tindak balas Covid-19 kerajaan menjadi sasaran serangkaian serangan penggodaman komputer yang diselar oleh Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ) pada Selasa sebagai ancaman terhadap kebebasan akhbar.

Baru-baru ini, sekurang-kurangnya empat organisasi menjadi sasaran dalam siri serangan digital “belum pernah terjadi sebelumnya”, yang mungkin bertujuan “menyekat laporan kritikan dan menekan kebebasan media”, kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

“IFJ sangat risau dengan insiden penggodaman ini dan meminta pihak berkuasa melakukan siasatan menyeluruh,” kata persekutuan itu.

“Serangan dalam talian ini menghalang kebebasan akhbar dengan mewujudkan iklim ketakutan yang dapat menyebabkan penapisan diri sendiri.”

Pada Jumaat, laman web media utama Tempo diganti dengan layar hitam dengan perkataan “penipuan” dengan huruf merah tebal, sementara beberapa artikel yang mengkritik peranan agensi perisikan Indonesia dalam tindak balas wabak itu dipadam dari laman web Tirto.

Tidak jelas siapa yang berada di belakang serangan itu dan polis atau agensi perisikan nasional tidak menjawab apabila diminta memberi komen.

Akaun Twitter milik ahli epidemiologi Pandu Riono digodam selepas mengkritik kerjasama penyelidikan kerajaan-universiti yang menurutnya berada pada tahap di bawah standard antarabangsa.

Minggu lalu, kedutaan Indonesia di Canberra mengkritik laporan media Australia yang memetik Riono sebagai mengatakan negara keempat terpadat di dunia itu mungkin sudah mempunyai satu juta kes Covid-19, lebih enam kali daripada angka rasmi.

Indonesia melaporkan lebih 150,000 kes Covid-19 dan 6,759 kematian, tetapi dengan beberapa kadar pengujian terendah di dunia, skala sebenar jangkitan dipercayai jauh lebih besar daripada itu.

Negara lepulauan Asia Tenggara dengan hampir 270 juta jiwa itu antara yang paling teruk dilanda wabak ini di Asia dan kerajaan dikritik hebat atas tindak balasnya.

Puluhan doktor di barisan hadapan meninggal dunia akibat penyakit pernafasan yang teruk, sementara pegawai kesihatan memberi amaran ratusan kanakkanak mungkin juga mati akibatnya. – AFP