MIRI: Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri merampas sejumlah minuman keras dan rokok pelbagai jenama termasuk wang sogok bernilai lebih setengah juta dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Maigold, Golden Royal Villa, Senadin di sini pada jam 1 tengah hari, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 12 PGA Miri, Superintendan Tan Hiap Seng berkata, dalam serbuan itu ditemui sebanyak 2,708 kotak bir tin, 348 kotak bir botol dan 128 kotak minuman keras pelbagai jenis bernilai RM172,710 termasuk cukai.

“Turut ditemui adalah 750 karton rokok putih, 2,070 karton rokok kretek bernilai RM380,804 termasuk cukai yang disimpan dalam stor dan kenderaan jenis van di kawasan rumah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, dalam serbuan itu, seorang lelaki berusia 30-an dipercayai penjaga stor tersebut ditahan.

“Penjaga stor tersebut menawarkan wang sogokan berjumlah RM20,000 kepada pasukan serbuan supaya tidak dikenakan tindakan undang-undang.

“Walaupun diberikan amaran berulang kali, penjaga stor itu tetap menawarkan wang sogokan tersebut kepada pasukan serbuan,” ujar beliau.

Selain itu, Hiap Seng memberitahu, pihak PGA juga merampas sebuah kenderaan yang dianggarkan berjumlah RM30,000, menjadikan nilai anggaran keseluruhan rampasan adalah RM603,514.

“Barang rampasan akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Miri untuk tindakan dan siasatan lanjut,” ujarnya.

Katanya lagi, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.