BINTULU: Ahli Parlimen Bintulu Datuk Sri Tiong King Sing menggesa agensi kerajaan serta pihak berkuasa berkaitan di Sibu supaya mengambil tindakan segera bagi menangani masalah tumpahan minyak dari kapal yang berlaku di Sungai Igan pada 22 Ogos lalu.

Menurutnya, pihak terbabit bukan sahaja perlu mengambil serius masalah tersebut, tetapi juga perlu mencari puncanya.

Katanya, tindakan pantas bagi menangani masalah tumpahan ini perlu kerana ia bukan sahaja memberi kesan buruk kepada kelestarian ekologi sungai, malah turut menjejaskan sumber pendapatan dan aktiviti harian penduduk setempat yang bergantung kepada sungai.

“Kejadian tumpahan minyak telah tersebar luas di media sosial selama beberapa hari Semestinya bukan alasan untuk jabatan berkenaan mengaku tidak tahu.

“Mengapa membiarkan tumpahan minyak merebak secara tidak terkawal hingga sejauh sembilan kilometer di sepanjang sungai,” katanya dalam satu kenyataannya, semalam.

Tiong, yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China turut mempersoalkan kegagalan pihak kilang terbabit yang tidak memaklumkan kepada pihak berkaitan mengenai kejadian itu.

Beliau menegaskan bahawa, sepatutnya mengambil inisiatif membantu pihak berkuasa bagi menangani tumpahan minyak merebak ke kawasan yang lebih jauh lagi.

“Paling tidak, ini menyebabkan bahaya besar dan ketidaknyamanan bagi penduduk yang bergantung pada sungai untuk keperluan seharian terutama minuman.

Walaupun ini adalah kemalangan di mana kilang-kilang yang terlibat mesti bertanggungjawab, kita tidak boleh membiarkan kejadian itu tidak disedari dan membiarkan penduduk yang tidak bersalah menanggung akibatnya,” katanya.

Justeru, beliau berharap langkah-langkah kontigensi untuk mengawal tumpahan minyak segera dilaksanakan agar pencemaran tidak merebak dan keadaan bertambah buruk agar ekologi sungai tidak terus tercemar dan menggugat keselamatan penduduk yang bergantung kepada sungai tersebut sebagai sumber air.