SIBU: Pembukaan gudang borong Red Bundle dijangka memberi peluang perniagaan kepada peniaga kecil barangan terpakai di Sarawak.

Pemilik Red Bundle, Ismandi Labot yakin perniagaan pakaian terpakai dapat membantu orang lain menceburi bidang keusahawan di bawah naungan Red Bundle.

Menurutnya, Red Bundle mempunyai gudang borong di Sibu dan ia bertindak sebagai hab pembekalan pakaian terpakai import kepada peniaga di seluruh negeri.

Ismandi Labot

“Dengan pembukaan gudang borong Red Bundle, ia sekali gus membuka peluang kepada peniaga mendapatkan stok barangan berkualiti dengan pelbagai gred selain menawarkan pada harga mampu milik.

“Kita juga menyediakan pilihan guni pakaian terpakai dari Korea, Jepun, Amerika Syarikat dan Australia bagi barangan seperti kemeja-T, seluar, pakaian sukan, pakaian kanak-kanak, permainan kanak-kanak dan banyak lagi,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Menurut Ismandi , mereka turut menawarkan pilihan guni pakaian terpakai seberat 100 kg dan 45 kg khususnya untuk peniaga yang ingin memulakan perniagaan di bidang tersebut.

Sebagai peniaga barangan terpakai yang sudah lama berkecimpung dalam perniagaan ini, beliau memahami kesukaran mendapatkan stok yang berkualiti.

“Jika ada, mereka terpaksa menempah bekalan dari Semenanjung dan ia memerlukan masa agak lama untuk mendapatkan bekalan tersebut.

“Di samping itu, peniaga kecil terpaksa menanggung kos penghantaran yang tinggi ke Sarawak dan ia menjejaskan keuntungan mereka,” tambahnya.

Inisiatif mewujudkan gudang borong Red Bundle ini atas kerjasama pembekal pakaian terbesar di Malaysia iaitu JBR Bundle dan D’Bundle Mania.

“Dengan pembukaan gudang Red Bundle ini, saya berharap ia membantu lebih ramai peniaga di seluruh Sarawak memulakan perniagaan,” katanya.

Ismandi anak jati Kampung Stumbin di Sri Aman kini mempunyai lima cawangan Red Bundle di seluruh Sarawak.