PADA hujung minggu atau cuti umum, kebanyakan masyarakat kita akan meluangkan masa dengan aktiviti riadah seperti menaiki gunung mahupun berkelah di tepi pantai.

Mereka juga turut berkongsi gambar dengan memuat naik di halaman Facebook mahupun Instagram masing-masing.

Gambar yang dikongsi semestinya berlatarbelakangkan gunung-ganang yang hijau dan pasir pantai yang putih serta lautan biru yang jernih yang ada di Sarawak mahupun lain-lain negeri di Malaysia.

Ketika ini tempat pelancongan dikunjungi oleh warga tempatan kerana pintu sempadan negara belum lagi dibuka untuk warga asing.

Apabila bercerita mengenai sektor pelancongan mahupun industri pelancongan itu sendiri, Covid-19 semestinya merencatkan pendapatan industri pelancongan, tidak kira pemilik inap desa, hotel, pemandu pelancong dan lain-lain.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri pada Jun lalu berkata industri pelancongan dan kebudayaan negara dianggarkan mengalami kerugian sekitar RM45 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini akibat pandemik Covid-19.

Malah, beliau turut berkata sektor pelancongan juga dijangka paling lambat untuk pulih.

Untuk memulihkan sektor pelancongan dalam negara, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembiayaan sejumlah RM1 bilion dalam Skim Pembiayaan Pelancongan Penjana.

Katanya, pembiayaan itu adalah inisiatif transformasi untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor pelancongan agar terus berdaya saing dalam era norma baharu dan beberapa langkah lain yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk membantu sektor pelancongan.

Meskipun kerajaan telah mengumumkan pelbagai inisiaitif bantuan untuk sektor pelancongan, kita boleh memainkan peranan dalam membantu para pemain industri pelancongan ini.

Mungkin ramai yang berhasrat atau menabung wang mereka untuk bercuti ke luar negara apatah lagi ketika panas dan kering ini.

Mereka mengimpikan untuk menikmati air kelapa muda di Pulau Bali, Indonesia atau di Phuket, Thailand sambil merenung matahari terbenam.

Namun, hasrat itu mungkin ditangguhkan seketika ekoran keadaan Covid-19 di seluruh dunia yang belum reda.

Jadi adalah baik kita mengunjungi tempat pelancongan di negeri masing-masing sambil memberi sokongan kepada perusahaan kecil sederhana (PKS) sektor pelancongan.

Ini merupakan masa, ruang dan peluang untuk kita terokai tempat pelancongan dalam negara atau dalam negeri yang belum pernah kita kunjungi.

Bantu pemain industri pelancongan kita dengan menginap di pusat penginapan mereka atau menggunakan khidmat pemandu pelancong mereka.

Pada saat ini, hanya kita warga tempatan yang dapat membantu merancakkan sektor pelancongan yang merana semasa PKP dan pada masa yang sama patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Meskipun memakan masa untuk pulih seperti sedia kala, kita yakin industri pelancongan tempatan akan bangkit semula selepas ini.

Sama-samalah kita membantu mereka.