MIRI: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan bantuan sebanyak RM1.3 juta untuk sembilan rumah panjang dan empat kampung di kawasan Suai.

Beliau berkata, bantuan itu bagi meringankan beban masyarakat di kawasan terbabit terutamanya petani yang terjejas teruk disebabkan penularan Covid-19.

“Kerajaan Sarawak bersetuju memberi bantuan sebanyak RM1.3 juta kepada sembilan rumah panjang dan empat kampung di sini menerusi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) ini kerana pendapatan penduduk setempat terjejas akibat Covid-19.

“Ini bermakna setiap rumah panjang dan kampung masing-masing akan menerima RM100,000,” katanya ketika berucap dalam lawatan kerja ke tapak projek Jalan Ulu Suai, Niah, Subis di sini baru-baru ini.

Abang Johari memuji Kemen-terian Utiliti di bawah menterinya Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom yang berjaya menyediakan kemudahan bekalan air dan elektrik di kawasan pedalaman di negeri ini.

“GPS berusaha memastikan semua rumah panjang atau kawasan luar bandar mendapat bekalan air dan elektrik menerusi projek Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (Sares) dan Bekalan Air Alternatif Sarawak (Sawas).

“Semua ini menunjukkan GPS memahami aspirasi dan kehendak penduduk di negeri ini yang jelas gagal dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini,” ujarnya.

Sebelum itu, beliau mengumumkan projek Jalan Ulu Suai yang asalnya bernilai RM67.99 ditambah RM3 juta lagi bagi menghubungkan Kampung Iran Suai dan Jalan Pesisir Miri-Bintulu.