SRI AMAN: Sebuah rumah sewa yang didiami tujuh individu di Jalan Kejatau, di sini musnah dalam kebakaran pagi tadi.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, kejadian dilaporkan sekitar jam 9.34 pagi itu turut memusnahkan tiga buah motosikal yang diletakkan di rumah terbabit.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat yang dijadikan rumah sewa.

“Menurut saksi di tempat kejadian, api dilihat mula marak dari bahagian dapur dan kebakaran telah memusnahkan 100 peratus rumah tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Api berjaya dikawal oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman sekitar jam 9.50 pagi.

Kesemua tujuh orang penghuni terdiri daripada dua orang wanita dewasa, empat orang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki sempat keluar menyelamatkan diri semasa kejadian dengan bantuan orang awam.

Anggota BBP Sri Aman memadam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah sewa di Jalan Kejatau, Sri Aman pagi tadi.