SEOUL: Korea Selatan mengarahkan semua sekolah dan tadika di wilayah Seoul supaya beralih kepada kelas secara dalam talian ketika pihak berkuasa berusaha keras menangani kewujudan pelbagai kluster baharu Covid-19.

Pedekatan “jejak, uji dan rawat” oleh kerajaan Korea Selatan sebelum ini untuk membendung virus itu dianggap sebagai model global.

Tetapi kini ia berusaha keras mengekang gelombang baru jangkitan yang kebanyakannya dikaitkan dengan kluster gereja Protestan. K

orea Selatan melaporkan 280 jangkitan baru pada Selasa, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negara itu kepada 17,945 kes.

Angka itu walaupun rendah dari segi global tetapi mewakili peningkatan tiga digit selama 12 hari berturut-turut di Korea Selatan selepas beberapa minggu merekodkan antara 30 hingga 40 kes.

Sebilangan besar kes baru berpusat di wilayah Seoul yang menjadi tempat tinggal bagi separuh daripada 52 juta penduduk di negara itu.

Pihak berkuasa kini berusaha memperketat peraturan penjarakan fizikal dan mengatakan sekolah dan tadika di Seoul, Incheon dan wilayah Gyeonggi yang berdekatan beralih kepada pembelajaran dalam talian mulai Rabu hingga 11 September.

“Peningkatan jangkitan Covid-19 secara mendadak sejak awal bulan ini turut menjangkiti pelajar dan kakitangan pendidikan,” kata menteri pendidikan Yoo Eun-hae kepada wartawan.

Hampir 200 pelajar dan kakitangan sekolah dijangkiti virus itu dalam dua minggu terakhir, katanya.

Satu-satunya pengecualian adalah untuk pelajar senior di tahun terakhir sekolah menengah mereka, yang mengambil peperiksaan kemasukan universiti penting pada awal Disember.

Usaha mengekang penularan Covid-19 diperketat di wilayah Seoul minggu lalu dan terus diperluas ke seluruh negara, merangkumi sekatan perhimpunan besar seperti perkhidmatan keagamaan dan penutupan kelab malam, bar karaoke dan kafe siber. – AFP