LAWAS: Projek pembinaan bangunan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQS) di Ba’kelalan yang terbengkalai perlu diambil tindakan segera.

Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Datuk Henry Sum Agong berkata, tindakan segera perlu dilakukan bagi memastikan pembinaan projek berkenaan dapat disiapkan untuk kepentingan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, tiada sebarang perkembangan dan kemajuan serta masih banyak perkara yang perlu dilaksanakan.

“Perjumpaan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan dilakukan bagi memaklumkan perkara itu dan mengesyorkan tindakan susulan diambil terhadap kontraktor yang bertanggungjawab membina bangunan itu.

“Perkara ini perlu disegerakan bagi mengawal pintu masuk negara yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia,” katanya semasa melakukan lawatan ke bangunan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQS), Ba’kelalan,” baru-baru ini.

Henry yang juga Ahli Parlimen Lawas menjelaskan, projek berkenaan melibatkan pembinaan bangunan khas untuk menempatkan kakitangan Imigresen, Kastam dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Pegawai Daerah Lawas Laidin Atok, wakil Residen Bahagian Limbang Cherry Lyame Roland dan Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Lawas turut hadir.