SARIKEI: Kecekapan anggota bomba berjaya menangkap seekor ular cincin yang menyorok di celah enjin sebuah kereta di Jalan Nanas di sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei Mahmudin Narudin berkata, pasukannya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan sekitar jam 12.29 tengah hari.

Menurutnya, operasi agak sukar kerana reptilia itu bersembunyi di celah enjin, namun akhirnya berjaya ditangkap menggunakan penjerut.

“Kita tidak menolak kemungkinan ular itu kelaparan atau mencari tempat perlindungan sehingga sesat ke dalam ruangan enjin kereta,” katanya ketika dihubungi.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil mudah kehadiran haiwan berbisa di persekitaran kediaman mereka.

Katanya, binatang berbisa seperti kala jengking, lebah dan ular merupakan antara tetamu tidak diundang yang perlu diawasi terutama ketika hujan.

“Bukan sahaja mengakibatkan kecederaan tetapi mengancam nyawa jika tidak berwaspada,” ujarnya.