KUCHING: Sejak inisiatif tambang bas RM1 diperkenalkan di tiga bandar utama Kuching, Sibu dan Miri pada Mei tahun ini, jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan tersebut menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin berkata, berdasarkan data dikumpul menunjukkan peningkatan walaupun pergerakan terhad ekoran krisis Covid-19.

“Kita ingin menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak terlibat terutama kepada pengusaha bas yang berusaha keras menjayakan program ini.

“Sambutan luar bisa terhadap program ini jelas dilihat menerusi peningkatan jumlah penumpang dari 12,657 orang pada Mei meningkat kepada 247,772 pada bulan Julai tahun ini yang melibatkan tiga bandar utama ini,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Tambahnya lagi, tidak diragukan lagi peningkatan jumlah penumpang menunjukkan respons orang ramai terhadap program tersebutmencapai sasaran membantu rakyat secara keseluruhan.

“Sebenarnya orang ramai kembali menggunakan pengangkutan bas sebagai pengangkutan harian sama ada untuk membeli-belah, bersantai mahupun bekerja,” jelasnya lagi.

Jelasnya lagi, objektif utama tambang bas RM1 ialah mendorong lebih ramai menggunakan bas sebagai pilihan pengangkutan yang utama, termasuk meringankan beban kewangan kumpulan berpendapatan rendah yang sangat bergantung kepada pengangkutan bas.

“Selain itu, program ini diharap dapat mengubah tingkah laku pengguna untuk menyokong usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas di samping mendorong syarikat bas meningkatkan perkhidmatan,” ujarnya.

Kim Shin berkesempatan mengadakan pertemuan dengan semua syarikat bas bagi mendapatkan maklum balas mengenai usaha yang dapat dilakukan untuk meningkatkan lagi perkhidmatan.

Antara isu yang dibincangkan ialah kaedah promosi.

kemudahan sampingan baharu, ketepatan jadual, kekerapan pergerakan bas, perakuan lembaran, pembayaran subsidi dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.

Difahamkan pelaksanaan program yang dimulakan di tiga bandar utama Kucing, Miri dan Sibu ini yang disertai 12 syarikat bas – empat di Kuching, lima di Sibu dan tiga di Miri.

Semua syarikat ini beroperasi di 44 laluan yang diluluskan oleh Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan Sarawak (CVLB) – 12 laluan di Kuching, 17 laluan di Sibu dan lima lagi di Miri.