KUCHING: Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) hari ini melancarkan projek perintis pemasangan 26 kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan India Street, Jalan Courthouse dan The Courthouse Connector di pusat bandar raya ini.

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata projek perintis itu adalah usaha kerajaan negeri melalui SMA dengan kos RM175,000 yang dilaksanakan melalui kerjasama dengan Jawatankuasa India Street Pedestrian Mall dan pengurusan pusat beli-belah Plaza Merdeka.

Abdul Rahman yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU)) berkata CCTV berkenaan akan menyediakan pengawasan 24 jam di seluruh kawasan India Street, Jalan Courthouse dan The Courthouse Connector.

“Pusat beli-belah terkenal di bandar raya ini akan menyediakan kemudahan bilik server dan kakitangan yang mengawasi sistem CCTV berkenaan, memaklumkan sebarang kejadian jenayah yang dirakam kepada polis serta mengendalikan rakaman yang diminta pihak berkuasa berkaitan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan projek perintis itu di sini.

Beliau berkata CCTV itu juga akan dihubungkan dengan Pusat Operasi Bersepadu (IOC) yang sedang dibina SMA di negeri ini bagi membolehkan teknologi kecerdasan buatan (AI) melakukan pengesanan aktiviti yang berlaku di kawasan terlibat.

Abdul Rahman berkata projek perintis itu dijangka dapat beroperasi sepenuhnya penghujung tahun ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa India Street Pedestrian Mall Datuk Wee Hong Seng berkata pemasangan CCTV itu diharap bukan sahaja dapat menjamin keselamatan para peniaga di kawasan itu tetapi juga pengunjung dan pelancong.

“Kamera CCTV bukan sekadar perhiasan tetapi suatu alat yang penting untuk mencegah kegiatan jenayah dan membantu kecekapan agensi penguat kuasa,” katanya.

Beliau berkata ketika ini, terdapat 74 kedai di India Street Pedestrian Mall yang dikenali sebagai jalan tersibuk di Bazar Lama Kuching selain merupakan warisan sejarah berusia lebih 170 tahun.