KUCHING: Inisiatif Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) membangunkan CCTV di kawasan ikonik dan bersejarah merupakan usaha terbaik meningkatkan keselamatan.

Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia selaras dengan inisiatif Kerajaan Sarawak yang menekankan kepada kemudahan teknologi maklumat dan informasi (ICT).

Menurutnya, sebanyak 26 kamera dipasang di pelbagai lokasi yang dipantau 24 jam selain dihubungkan dengan Pusat Operasi Bersepadu SMA.

“Ini satu usaha baik untuk memberi manfaat kepada semua termasuk pengguna dan peniaga terutama jaminan aspek keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kamera Litar Tertutup di Lebuh India, Jalan Courthouse dan The Courthouse Connector semalam.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, pemilihan Lebuh India untuk projek perintis itu merupakan pilihan bijak.

“Melalui usaha seperti ini, kita dapat meningkatkan tahap keselamatan seperti yang diwujudkan di bandar besar dan dipantau sepanjang masa.

“Kita lihat ini antara usaha untuk mengurangkan kes jenayah dan memudahkan pihak berkuasa segera bertindak,” ujarnya.

Menurutnya, sistem CCTV tersebut dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku pertama tahun depan.

“Kita yakin lebih banyak kawasan tumpuan akan dipasang sistem ini bagi meningkatkan keyakinan masyarakat dan tahap keselamatan,” jelasnya.

Hadir sama Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Junaidi Reduan; Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng dan Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak Dr Zaidi Razak.