PAKAN: Program Bantuan Pakaian Seragam Yayasan Sarawak amat bermakna kerana meringankan beban kewangan ibu bapa terutama golongan yang kurang berkemampuan.

Adun Pakan Tan Sri William Mawan Ikom berkata, pelaksanaan program itu bukti kerajaan melalui Yayasan Sarawak memahami beban yang ditanggung oleh setiap ibu bapa dalam penyediaan pakaian seragam sekolah.

“Program ini dilaksanakan atas dasar prihatin untuk membantu dalam penyediaan keperluan pakaian seragam sekolah. “Tahun ini sekali lagi Yayasan Sarawak menyalurkan bantuan serupa kepada semua murid yang layak dengan nilai RM200 untuk setiap murid,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Bantuan Pakaian Seragam Yayasan Sarawak Daerah Pakan di sini, kelmarin.

Menurut Mawan, pelajar perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk menimba ilmu pengetahuan di sekolah.

“Jadikan sekolah sebagai tempat menimba ilmu, mencari pengalaman, membentuk bakat dan mengasah daya kepemimpinan kerana anda merupakan aset bernilai negara untuk masa hadapan.

“Sayangi diri, hormati ibu bapa, guru-guru dan masyarakat. Berusahalah menjadi yang terbaik,” katanya.

Timbalan Residen Sarikei Abang Porkan Abang Budiman dan Penolong Pegawai Daerah Pakan Yalin San turut hadir