SIBU: Rombongan Pemuda PDP Bahagian Bawang Assan sekali lagi bergerak dan menyalurkan pelbagai sumbangan kepada penduduk rumah panjang di kawasan Dun Bawang Assan.

Semalam rombongan tersebut mengagihkan barangan keperluan harian yang memberi manfaat kepada 123 isi rumah di kawasan Tanjung Penasu dan Pasai.

Ketua Pemuda PDP Bahagian Bawang Assan Kaunselor Joshua Ting Fu Ying berkata, setelah kunjungan berterusan di situ, beliau dan rombongan memahami apa yang diperlukan penduduk rumah panjang berkenaan.

Menurutnya, jentera parti itu bersyukur kerana penduduk sanggup terbuka hati memberi sokongan kepada PDP.

“Berkhidmat untuk rakyat merupakan asas politik dan memahami apa yang rakyat perlukan terutamanya di luar bandar dan rumah panjang,” katanya di sini, semalam.

Ting berkata, penduduk sangat berharap supaya suara dan masalah mereka didengar.

“Paling penting, mereka tahu di mana dan dengan siapa masalah itu harus diajukan.

“Justeru, kami sentiasa menasihati penduduk mengenai maklumat pelbagai jabatan supaya mereka mempunyai arah yang lebih jelas mengenai bantuan kerajaan pada masa akan datang,” tambahnya lagi.