LUMBA haram yang melibatkan mat rempit dalam kalangan belia sejak kebelakangan ini semakin menjadi-jadi.

Kegiatan ini merupakan aktiviti perlumbaan di atas jalan raya tanpa kebenaran pihak berkuasa – sering dikaitkan dengan motosikal dan kereta.

Kebiasaannya lumba haram berlangsung pada tengah malam terutamanya pada malam minggu – di bandar besar seperti di ibu kota.

Sesuai dengan nama lumba haram, ia banyak menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.

Ini kerana pelumba serta peminat lumba haram ini bersikap mementingkan diri sendiri.

Apabila sudah berlumba, mereka tidak kisah dengan kenderaan lain. Paling utama ialah untuk menang perlumbaan tersebut.

Selain itu, mereka juga tidak menghargai nyawa diri sendiri dan lebih bahaya apabila mereka berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

Statistik kemalangan di Malaysia menunjukkan peningkatan indeks kemalangan jalan raya pada setiap tahun yang menyebabkan peratusan kematian rakyat akibat kemalangan jalan raya juga meningkat.

Kemalangan yang melibatkan motosikal paling tinggi direkodkan di negara ini sehinggakan Malaysia menjadi salah sebuah negara yang memegang rekod tertinggi kemalangan jalan raya di dunia.

Antara faktor utama yang menyumbang kepada berlakunya peningkatan kemalangan ini ialah gejala lumba haram selain faktor pengguna itu sendiri yang tidak mematuhi peraturan lalu lintas, keadaan jalan raya dan keadaan kenderaan yang kurang baik.

Seperti yang kita lihat, hampir semua mereka yang terlibat dalam kegiatan lumba haram mengubah suai motosikal dan tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan sesuai dengan keadaan jalan raya di Malaysia.

Pengubahsuaian itu sudah pasti menyebabkan motosikal itu tidak selamat untuk ditunggang, apatah lagi pengubahsuaian dilakukan terhadap enjin.

Menurut kajian sebuah universiti terkemuka tempatan melibatkan belia dalam lingkungan usia 16 tahun hingga 29 tahun, penglibatan terawal mereka merempit adalah antara usia 9 dan 19 tahun.

Hasil kajian juga mendapati, antara punca utama berlakunya gejala ini ialah kurangnya tahap pendidikan, sekali gus menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan ajakan rakan sebaya.

Tanpa latar belakang pendidikan yang baik, berkemungkinan besar mereka hidup dalam keadaan terdesak, susah serta meningkatkan lagi risiko mereka terjebak dalam aktiviti berisiko tinggi.

Selain itu, latar belakang keluarga yang bercerai hinggakan ibu bapa tidak mengambil peduli terhadap kegiatan negatif anak-anak mereka.

Lumba haram juga boleh menyebabkan seseorang individu itu melakukan jenayah yang lebih besar seperti penagihan dadah, ragut, rogol dan sebagainya.

Aktiviti ini pada mulanya disertai oleh seseorang hanya untuk menghabiskan masa terluang dan menghilangkan rasa bosan, tetapi lama kelamaan ia akan menjadi kebiasaan dan keseronokan.

Pergaulan bebas dua jantina yang bermula daripada lumba haram juga menyumbang kepada berlakunya peningkatan kes pembuangan bayi di Malaysia.

Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak mereka agar tidak terjebak dalam gejala negatif ini.

Berikan didikan agama, perhatian dan kasih sayang secukupnya kepada anak-anak agar dapat menjadi panduan kepada mereka.

Seterusnya, pihak kerajaan turut memainkan peranan penting dalam membasmi permasalahan ini dengan melaksanakan pelbagai program kesedaran serta membina lebih banyak kemudahan sukan khusus untuk belia.

Dengan adanya pelbagai program serta pembinaan prasarana sukan, belia akan dapat mengisi masa lapang dengan kegiatan yang lebih berfaedah.

Ini kerana lumba haram ini lebih cenderung ke arah negatif selain akan meningkatkan jumlah jenayah dan penjenayah di Malaysia.

Justeru itu, semua pihak harus bersama-sama berganding bahu menangani gejala lumba haram ini sebelum nasi menjadi bubur.