SARIKEI: Cinta mendalam terhadap wau mendorong minat tiga beradik di Jalan Century di sini, untuk terus berjuang mempertahankan permainan tradisi itu.

Awangku Sutijaya Awangku Basar, 58 dan dua adiknya, Awangku Wilajaya, 52 dan Awangku Noor Abadi, 45, aktif menghasilkan wau sejak beberapa tahun lalu.

Siapa sangka kehalusan seni tangan anak jati Sarikei ini mampu menarik perhatian ramai bukan sahaja peminat wau tempatan tetapi juga antarabangsa.

Menurut Awangku Sutijaya, wau bukan sahaja mempunyai keunikannya tersendiri tetapi corak dan bentuknya juga melambangkan identiti sesebuah negeri.

“Pada mulanya hanya ingin mencuba sekadar suka-suka namun tidak menyangka akhirnya timbul minat.

Peluang yang diberikan oleh Persatuan Wau Kuching ketika itu, untuk bermain wau di Pasir Gudang Johor membakar semangat kami untuk menghasilkannya secara lebih serius,” katanya kepada Suara Sarawak.

Awangku Sutijaya berkata, proses menghasilkan wau tidak semudah dibayangkan kerana sangat rumit di samping perlu sabar dan teliti.

Selain boleh diterbangkan dengan baik katanya, corak wau juga sangat penting, justeru perlu dibuat dengan penuh berhati-hati.

“Seni corak pada badan wau sangat halus dan sarat dengan elemen tradisional. Itulah cabaran utama kerana keindahan corak wau mampu menarik perhatian sesiapa sahaja. Kreativiti sangat penting untuk menghasilkan corak unik dan cantik.

“Harga bagi setiap satunya boleh mencecah RM300 hingga ribuan ringgit bergantung kepada bentuk dan jenis wau,” katanya.

Hingga kini, dia mempunyai lebih 50 koleksi peribadi wau dan turut menggunakan hasil ciptaannya untuk menyertai pertunjukan layang-layang tempatan dan antarabangsa sejak beberapa tahun lalu.

Malah ahli Kelab Gudi Sarikei (Kegusa) ini juga pernah menjulang nama Sarawak dalam acara berkenaan.