LAWAS: Sekitar lima ekar tanah kebun dipercayai jenis gambut di Kampung Banting Fasa 1, dekat sini terbakar dalam kejadian sekitar jam 2.00 petang baru-baru ini.

Penolong Pengarah Operasi Kebombaan dan Penyelamat Negeri Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kebakaran itu pada jam 2.55 petang.

Ujarnya, sepasukan anggota bomba Bahagian Lawas kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi pemadaman kebakaran.

“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, didapati berlakunya kebakaran tanah gambut seluas lima ekar.

“Anggota bomba segera menjalankan operasi pemadaman dengan menggunakan satu aliran 100’ breeching 600’, dua pancutan sumber dari air parit yang berhampiran menggunakan pam angkut GP 10-10,” katanya dalam satu kenyataan.

Ling Hii menjelaskan, anggota bomba berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada petang hari yang sama.

“Setelah memastikan keadaan selamat dan api telah padam sepenuhnya, pihak bomba bertolak balik ke balai,” katanya.