MIRI: Walaupun Sarawak didiami rakyat pelbagai kaum dan agama, namun ia tidak menghalang rakyat untuk hidup harmoni dan sejahtera.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menjelaskan, Sarawak menjadi contoh hingga menteri lain bertanya bagaimana Sarawak boleh menubuhkan Unifor.

“Ini satu perkara yang baik dalam kalangan kita dan apabila kita membangunkan negeri dalam keadaan aman, senang untuk kita bekerja dan berfikir,” ujarnya pada Majlis Pecah Tanah Pusat Komuniti Bersepadu Taman Jelita Off Taman Tunku di sini, kelmarin.

Sementara itu, beliau mendedahkan bahawa Sarawak memainkan peranan penting dalam menentukan kestabilan negara semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menghantar surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri pada Februari lalu.

Beliau merujuk kepada peristiwa yang berlaku semasa Malaysia tidak mempunyai kerajaan apabila Perdana Menteri ketika masa itu tiba-tiba meletak jawatan.

“Oleh kerana pada masa itu kita telah keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS), mereka bertanya kepada kita untuk menentukan Perdana Menteri baharu.

“Saya yang berada di Belaga ketika itu telah menerima panggilan dari Istana Negara yang meminta pendirian GPS,” jelasnya.