“PERPADUAN”, apakah yang dimaksudkan dengan perkataan tersebut?

Definisi perpaduan ialah penyatuan dan darjah serta jenis penyatuan yang dipamerkan sesebuah masyarakat ataupun kumpulan dan jiran mereka.

Ia merujuk kepada semua perhubungan sosial yang mengaitkan manusia Selain itu, istilah tersebut juga lazimnya digunakan dalam bidang sosiologi atau sains kemasyarakatan.

Sehubungan itu, asas perpaduan bagi sesuatu masyarakat berbeza. Dalam masyarakat biasa ia mungkin berdasarkan hubungan kekeluargaan dan nilai saling menghormati dan menyayangi.

Manakala, bagi masyarakat yang lebih kompleks pula, terdapat beberapa teori berkaitan faktor yang menyumbang kepada perpaduan sosial ataupun masyarakat.

Bagaimanakah konsep perpaduan yang ada di Sarawak?

Adakah ia berbeza dari tempat lain hingga mampu menjadi contoh kepada negeri lain dalam Malaysia ini?

Apa yang jelas, Sarawak mempunyai 27 suku kaum seperti Iban, Melayu, Bidayuh, Cina, Melanau, Kenyah, Kayan, Penan, Lun Bawang, Kelabit, Kedayan, Bisaya, Punan, Berawan, Lahanan, Kejaman, Sekapan, Baketan Ukit, Tabun, Sihal Tagal, Saban, Lisum, Longkiput, Kadazandusun dan Murut.

Mempunyai pecahan pada suku kaum membuatkan Sarawak mempunyai lebih daripada 10 bahasa pengantara kerana setiap suku kaum mempunyai pecahan bahasa yang berbeza mengikut kawasan.

Bagaimanapun, melalui perbezaan kaum, bangsa dan agama di negeri ini kita masih mampu memiliki perpaduan, bersatu dan sebagainya.

Setiap perayaan disambut dengan penuh meriah di negeri ini. Misalnya Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Krismas, Gawai Dayak dan banyak lagi. Ia disambut bersama-sama dengan kaum yang lain dengan mengadakan majlis rumah terbuka dan sebagainya.

Apa yang menarik segelintir daripada masyarakat bukan  Islam di Sarawak ini mengadakan rumah terbuka menggunakan katering Melayu.

Ini merupakan perkara kecil yang menunjukkan sikap hormat mereka kepada agama lain di Sarawak khususnya agama Islam.

Sebelum ini, ketika mengadakan lawatan di Sarawak Menteri Perpaduan Datuk Halimah Mohamed Sadique juga memuji keharmonian yang wujud di Bumi Kenyalang ini.

Menurutnya, ia juga merupakan satu contoh yang baik kepada negeri-negeri lain di Malaysia. Dalam hal berkaitan, selain daripada perayaan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg amat menekankan soal perpaduan, tanpa mengira bangsa dan agama. Penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (Unifor) di negeri ini merupakan lambang kepada perpaduan dan saling menghormati.

Ini jelas menunjukkan bahawa Sarawak sangat mementingkan perpaduan dan ini lambang kepada keharmonian di negeri ini. Adakah wajar perpaduan dimusnahkan dengan sikap pentingkan diri sendiri oleh segelintir masyarakat Sarawak? Adakah wajar ia dimusnahkan hanya dengan isu politik? Tepuk dada tanya selera.

Sebagai rakyat kita perlu bersatu hati dan menyokong usaha baik oleh pihak kerajaan khususnya Kerajaan Sarawak dalam menjaga perpaduan.

Jangan berpecah kerana fahaman politik, harus kita ingat perpaduan yang kita ada hingga ke hari ini menjadikan rakyat Sarawak seperti satu keluarga.

Jangan rosakkan hubungan kekeluargaan yang terbina melalui perpaduan ini hanya kerana isu remeh-temeh.

Ingat selalu pesan Allahyarham mantan Ketua Menteri Pehin Sri Adenan Satem “Jaga Sarawak tok bait-bait.”

Mengapakah perpaduan ini penting? Perpaduan penting kerana ia juga merupakan asas dan teraju kemajuan dan pembangunan Bumi Kenyalang.

Seperti apa yang selalu diuar-uarkan oleh Abang Johari, tanpa perpaduan kemajuan tidak akan dapat dicapai.