KUCHING: Kerajaan Sarawak yang diterajui oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan kerajaan yang bertanggungjawab, maka ia harus dikekalkan, kata Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan.

Snowdan berkata, Kerajaaan Sarawak yang dipimpin oleh GPS bukan sahaja bertanggungjawab, malah boleh dipercayai.

“Dengan banyak pengalaman mentadbir, terbukti boleh dipercayai oleh rakyat. “Rasa tanggungjawab kita terhadap rakyat dan negeri kita tetap teguh. Rekod telah membuktikan.

“Tiada kerajaan yang sempurna di dunia ini. Kita mungkin bukan kerajaan yang sempurna tetapi kita merupakan kerajaan yang bertanggungjawan dan prihatin,” katanya pada perasmian sesi randau anjuran Sarawak Energy dan JBALB di Dewan Sri Pantu, Balai Ringin baru-baru ini.

Seramai 250 ketua masyarakat menyertai sesi randau tersebut. Snowdan yang juga Adun Balai Ringin mengingatkan rakyat di kawasannya untuk tidak terpedaya dengan idea pembangkang. Jelasnya, kegagalan mereka ditunjukkan dengan kejatuhan PH setelah 22 bulan berkuasa dan hanya membawa kepada penderitaan dan tiada kesinambungan.

Dalam pada itu, Snowdan turut menghargai komitmen Kementerian Utiliti melalui agensi pelaksananya iaitu JBALB dan Sarawak Energy.

“Mereka melaksanakan rancangan untuk rakyat di kawasannya dari segi bekalan air terawat dan elektrik di seluruh kawasan Dun Balai Ringin pada masa akan datang.

“Hari ini, hampir semua mereka (ketua masyarakat) dari setiap pelosok kawasan saya mempunyai hubungan terus dengan pegawai kementerian di peringkat tertinggi kerana kedua-dua Pengarah JBALB dan SEB ada di sini untuk menyampaikan rancangan mereka, projek dan pencapaian setakat ini.

“Malah mereka turut serta secara aktif dalam sesi soal jawab. Mereka menerima cabaran yang dihadapi secara proaktif,” ujarnya. Beliau berkata, liputan elektrik 95 peratus dicapai meskipun saiz Sarawak lebih besar daripada Semenanjung.

“Untuk air terawat, JBALB memiliki perancangan untuk loji rawatan baharu dan pam untuk mempercepatkan pelaksanaan dan menyelesaikan masalah tersebut.

“Oleh itu, saya menyeru semua terutama pemilik tanah untuk bekerjasama dan menyediakan jalan untuk pemasangan saluran paip dan tiang elektrik didirikan dengan sekatan minimum seperti tuntutan pampasan yang terlalu tinggi.

Mengenai kuota ketua kaum baharu (47 untuk Balai Ringin) yang dipersetujui oleh Kerajaan Sarawak, ia untuk mengiktiraf penempatan dan kampung sedia ada agar mereka diletakkan dalam sistem kerajaan.