ASAJAYA: Seorang remaja lelaki maut setelah motosikal dinaikinya merempuh bahagian belakang sebuah lori jenis Hino berhampiran premis Mindasar Sdn Bhd, hari ini.

Kejadian berlaku sekitar jam 9.35 pagi ketika kedua-dua kenderaan terbabit bergerak dari arah Asajaya menuju ke Kota Samarahan.

Ketua Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata kemalangan jalan raya membabitkan dua buah kenderaan masing-masing jenis Yamaha Y125ZR dan sebuah lori Hino.

Menurutnya, mangsa (penunggang) dikenali sebagai Muhammad Ideham Liza, 17, berasal dari Kampung Tambay, Kota Samarahan.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku semasa lori terbabit hendak membelok ke kanan lalu dilanggar di bahagian tayar simpanan di sebelah kanan oleh motosikal mangsa dari arah belakang.

“Penunggang disahkan maut di tempat kejadian oleh petugas dari Kilinik Kesihatan Asajaya,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya, mayat mangsa telah dibawa ke Forensik Hospital Umum Sarawak(HUS) untuk tindakan siasatan lanjut.

Tambahnya, pemandu lori berkenaan, 44, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ujarnya, kes kini masing dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.