KUCHING: Klinik Ibu dan Kanak-kanak Kampung Pinang Jawa, Gita di sini akan terus dinaik taraf untuk memberikan kemudahan kepada kakitangan dan penggunanya.

Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman berkata, projek naik taraf tersebut penting kerana klinik ini digunakan oleh ibu mengandung dan ibu yang melahirkan anak.

“Kita perlu memastikan ia sesuai dan selamat untuk mereka.

Kita juga akan membesarkan klinik tersebut untuk memberikan keselesaan kepada kakitangan dan pesakit yang datang.

“Ia juga akan menambah mutu perkhidmatan kakitangan kesihatan kepada pesakit yang memerlukan, perkara ini amat penting sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Klinik Ibu dan Kanakkanak Kampung Pinang Jawa dan Surau Darul Rahmah Kampung Gita Tengah, di sini semalam.

Tambahnya, penyelia yang bertugas di Klinik Ibu dan Kanak-kanak Kampung Pinang Jawa telah mencadangkan beberapa tambahan untuk kemudahan di klinik tersebut.

“Pada saya, ia perlu dilakukan untuk menambah baik mutu perkhidmatan mereka kepada masyarakat.

“Ekoran itu saya telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM120,000 untuk menaik taraf klinik ibu dan anak yang sedia ada ini, ia amat penting kerana melibatkan keselamatan ibu bersalin,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mendedahkan klinik tersebut menerima kehadiran pesakit sekitar 120 hingga 150 orang sehari.

“Cabaran yang dihadapi kini adalah prosedur operasi standard (SOP) yang baharu.

Pesakit tidak dalam ditempatkan di dalam ruang menunggu kerana ruang agak kecil.

“Sebab itu, saya telah meluluskan peruntukan tersebut supaya kita dapat membesarkan kawasan di luar klinik untuk menyediakan ruang menunggu yang lebih selesa bagi pesakit.

Terdahulu, Klinik Ibu dan Kanak-kanak Kampung Pinang Jawa hanya terletak di tingkat satu bangunan manakala tingkat bawah merupakan Perpustakaan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

“Untuk menaik taraf klinik tersebut, saya berbincang dengan DBKU dan perpustakaan tersebut akan dipindahkan ke tapak baharu yang telah dikenal pasti berhampiran kawasan kampung,” ujarnya.

Projek klinik tersebut dibangunkan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kawasan Tupong yang dimulakan pada 19 Ogos 2019 dan siap 16 Disember 2019 dengan kos RM100,000.