PADAWAN: Seorang lelaki tempatan disyaki dalam keadaan mabuk mengamuk dengan bersenjatakan parang di sebuah kedai kopi pekan Batu 10, semalam.

Insiden berlaku sekitar jam 10 pagi itu dikatakan bermula setelah suspek, 55, bertindak mengeluarkan parang sepanjang satu meter daripada keretanya lalu kembali semula dan mengamuk di premis berkenaan.

Difahamkan, punca kejadian berlaku disebabkan suspek menyangka dirinya ditengking pemilik premis sebelum perselisihan faham dan pergelutan mula berlaku di antara kedua-duanya.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata, akibat daripada kejadian suspek jatuh tidak sedarkan diri akibat dipukul oleh pemilik premis menggunakan sebatang kayu.

“Hasil pemeriksaan doktor mendapati suspek mengalami keretakan di atas kepala, lebam di bahagian mata kiri dan luka di pergelangan tangan sebelah kiri.

“Semasa bergelut, pengadu telah memukul suspek di bahagian kepala menggunakan kayu menyebabkan suspek jatuh tidak sedarkan diri manakala pengadu tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya, pihaknya telah menahan pengadu di gerainya sekitar jam 1.15 pagi untuk tindakan siasatan lanjut.

Dedahnya, pengadu mengaku telah memukul suspek(mangsa) menggunakan kayu ukuran panjang lebih kurang empat kaki dipercayai batang kayu cangkul.

Tambahnya, semakan turut mendapati pengadu mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 90, Akta Racun, Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Ujarnya, kes kini masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.