KUCHING: Sebanyak 42 Warta Rizab Komunal Bumiputra (Pertanian) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri diserahkan kepada 40 kampung di Serian dan Tebedu.

Turut diserahkan 202 surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri kepada 160 pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Kampung Petag.

Penyerahan disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam Majlis Penyerahan Warta Seksyen 6 dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri pada pertengahan Julai lalu.

Tanah di kawasan yang diwartakan tersebut menjadi hak eksklusif komuniti Bidayuh dan Iban di kawasan berkenaan sebagai tanah NCR.

Dengan adanya dokumen pemilikan dan persempadanan yang jelas, tiada siapa boleh mempertikaikan pemilikan ke atas tanah NCR.

Pada masa sama, penerima hak milik itu diingatkan supaya menjaga tanah masing-masing dan menggunakannya secara optimum untuk faedah diri sendiri dan keluarga serta mengekalkannya untuk generasi seterusnya.

Kedua-dua usaha pengukuran tanah NCR inisiatif baharu ini merupakan usaha berterusan kerajaan Sarawak yang sentiasa komited untuk mengiktiraf hak rakyat ke atas tanah.

Pemilik tanah NCR di Sarawak jangan khuatir kerana kerajaan sentiasa memastikan hak pemilik tanah ini dipelihara.

Ini terbukti bila Kerajaan Sarawak meminda Kanun Tanah Negeri dengan memberi kuasa perundangan kepada Domain Wilayah Pribumi (NTD) untuk memastikan semua tanah yang mempunyai hak adat bumiputera dan tanah terlibat dengan hak mengguna pakai telah diiktiraf.