PADAWAN: Pengusaha premis perniagaan di kawasan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) digesa untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa.

Pengerusi MPP Lo Khere Chiang berkata, usaha ini merupakan langkah untuk mengelak jangkitan Covid-19 dalam kalangan masyarakat.

“Virus Covid-19 ini sangat bahaya dan mudah merebak sekiranya kita mengabaikan SOP yang ditetapkan. “Di Amerika Syarikat contohnya, setakat hari ini (semalam), lebih 5 juta penduduknya dijangkiti Covid-19 dan melibatkan banyak kematian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat penuh MPP melalui aplikasi Zoom, di sini kelmarin.

Sehubungan itu katanya, pengusaha premis perlu mewajibkan semua pekerja mereka sentiasa menggunakan pelitup muka semasa bekerja, mengamalkan penjarakan fizikal serta sentiasa menjaga kebersihan iaitu kerap membersih tangan.

“Selain itu, setiap premis sama ada kedai kopi atau restoran, disaran untuk menyediakan satu aplikasi digital seperti aplikasi MySejahtera, Qmunity dan Covid Trace untuk pendaftaran dan mengawal kemasukan pelanggan di premis masing-masing,” katanya.

Adun Batu Kitang itu turut menasihati pengusaha premis makanan agar menyediakan sudu, garfu dan penyepit yang direndam dalam air panas terlebih dahulu sebelum digunakan.

Tambahnya, premis tersebut hendaklah sentiasa bersih dan disanitasi sekurangkurangnya tiga kali sehari.