TIADA alasan mengalah walaupun menghadapi pelbagai cabaran mempersiapkan pasukan Kuching FA sebelum aksi pertama menentang pasukan Selangor 2 di gelanggang sendiri malam ini.

Presiden Kuching FA, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, sebelum ini, pemain terpaksa menjalani kuarantin wajib selama 14 hari dan ada juga pemain yang terpaksa dikuarantin sehingga 20 hari.

“Pemain telah mula berlatih awal minggu lalu selepas tamat tempoh kuarantin dan ia cabaran buat pasukan untuk mempertingkatkan mutu permainan bagi persiapan ke perlawanan malam ini.

“Namun ia bukan alasan untuk kami mengalah kerana sasaran utama pasukan adalah untuk memenangi perlawanan pertama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Klinik Ibu dan Kanak-kanak Kampung Pinang Jawa dan Surau Darul Rahmah Kampung Gita Tengah semalam.