SEMAKIN dekat pilihan raya, isu tanah NCR hangat dibangkitkan oleh pelbagai pihak untuk memenangi hati rakyat.

Malah pada PRN-11, isu yang memang dekat di hati rakyat itu menjadi bahan utama media sosial dan isu itun dijaja pihak pembangkang sepanjang kempen pilihan raya.

Menjelang PRN-12, isu tanah NCR dijangka terus menguasai ruang pilihan raya sama ada di media sosial, ketika berkempen atau cakap-cakap kosong di kedai kopi.

Dengan pilihan raya yang dijangka sebelum Jun 2021, isu tanah NCR hangat semula dimulai dengan perang kenyataan antara Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dengan Ahli Parlimen Selangau Baru Bian.

Pada Rabu lalu, Uggah membidas tindakan Baru yang mempertikai tindakan kerajaan mengukur tanah NCR menggunakan Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri terlebih dahulu sebelum Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.

Bagi Baru, lebih elok pengukuran NCR terus kepada pengukuran individu di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi mengelak pembaziran kos pengukuran dan didakwa membuang masa.

Tetapi Uggah membidas bahawa Baru tidak perlu mempertikaikan pengukuran di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri kerana tanah milik keluarga Baru turut mendapat manfaat daripada inisiatif baharu itu.

Beberapa tanah milik Baru serta keluarganya turut disukat di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri. Namun paling penting ialah pengukuran tanah NCR itu untuk kebaikan masyarakat bumiputera secara keseluruhannya.

Apa yang perlu diketahui oleh masyarakat umum? Sebelum pengukuran tanah NCR di bawah Inisiatif Baharu NCR dimulakan pada 2010, kerajaan terlebih dahulu telah membuat kajian terperinci.

Pandangan pelbagai pihak termasuk ketua kaum dan ketua masyarakat diambil kira terlebih dahulu sebelum proses pengukuran tanah bermula.

Pengukuran di bawah Inisiatif Baharu NCR ini dilihat antara cara terbaik untuk melancarkan proses pengukuran di seluruh negeri ini secara percuma menerusi peruntukan kerajaan.

Tahun ini sebanyak RM40 juta diperuntukkan untuk tujuan itu.

Dalam isu pengukuran menggunakan Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dan Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri, kerajaan memilih untuk menggunakan pengukuran di bawah Seksyen 6 atau secara perimeter terlebih dahulu bagi melancarkan proses pengukuran di lapangan.

Ia juga untuk mengukur sempadan tanah kerajaan negeri dan tanah NCR. Selepas pengukuran fasa pertama itu dilaksanakan, proses pengukuran lot individu di bawah Seksyen 18 akan lebih mudah untuk dilaksanakan.

Akhir sekali dan paling penting, ia bagi melindungi hak bumiputera ke atas tanah NCR. Ini kerana setelah diwartakan atau diberi surat hak milik, tanah itu akan menjadi milik selamanya dan tiada tempoh mati.