BAGI memastikan ekosistem dan sumber perikanan sentiasa terjamin dan berterusan, 5,000 benih ikan siakap dilepaskan di Telaga Air.

Menurut Pengarah Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) Bohari Leng menyatakan tindakan tersebut merupakan usaha JPLS dalam memastikan sumber perikanan sentiasa berterusan.

“Setiap tahun, kami melepaskan benih ikan siakap di kawasan perairan bagi membantu nelayan untuk menambah sumber perikanan.

“Pemilihan kawasan Telaga Air sebagai tempat melepaskan benih ikan tersebut kerana ekosistem paya bakau dan kualiti air yang sesuai dengan spesies ikan siakap untuk membiak,” ujarnya.

Di samping itu, beliau berkata, pemilihan benih ikan siakap kerana peluang potensi ikan tersebut untuk hidup lebih tinggi.

“Benih ikan siakap dipilih kerana peluang ikan tersebut untuk hidup lebih tinggi kerana tidak terdedah dengan risiko dimakan oleh kehidupan lain. “Ancaman utama ikan tersebut hanya terdedah ancaman jaring dan sebagainya,” katanya.

Tambah Bohari, pemilihan Telaga Air sebagai lokasi melepaskan benih ikan tersebut secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan potensi kawasan terbabit sebagai kawasan pelancongan.

Tingkat Sosioekonomi

“Sekiranya sumber perikanan di kawasan sini semakin meningkat, sudah pasti ramai pemancing dapat hadir ke sini.

“Pada masa sama, kehadiran nelayan dapat meningkatkan sosioekonomi penduduk tempatan menerusi pelbagai aktiviti rekreasi dan gerai,” jelasnya.

Beliau menyatakan, usaha ini selaras dengan perancangan Kerajaan Sarawak untuk menjadikan Telaga Air sebagai pusat pelancongan yang berpotensi menjadi tempat tumpuan pemancing.

Usaha melepaskan benih ikan di Telaga Air turut mendapat sokongan daripada nelayan. Nelayan, Latip Bohari, 49, berharap agar lebih banyak benih ikan dilepaskan di kawasan tersebut.

“Sepanjang menjadi nelayan, saya mengakui memang agak kurang tangkapan ikan berbanding sekarang.

Beralih Kepada Nelayan

“Punca ramai memilih pekerjaan sebagai nelayan kerana tiada pekerjaan lain.

“Malah sambutan permintaan ikan yang tinggi menjadi punca mereka bertukar pekerjaan menjadi nelayan,” jelasnya.

Tahan Lasak

Sementara itu, sumber benih ikan diperoleh daripada pihak Persatuan Penternak Ikan Sangkar Rambungan.

Pengerusinya, Mohammad Ihsan Mohammad Trudin menyatakan ikan siakap dipilih kerana sifatnya yang tahan lasak.

“Ikan siakap dipilih kerana ikan itu lebih tahan lasak dan habitatnya sesuai dengan keadaan air di Telaga Air.

“Pemilihan ikan yang sesuai penting dalam memastikan potensi hidup meningkat 99 peratus.

“Malah, ikan siakap juga mampu dimiliki kerana harganya tidak terlalu mahal dan berpatutan berbanding ikan lain yang berada di pasaran,” katanya.