KUCHING: Pasar malam di Kompleks Belia dan Sukan Negeri di sini, mendapat sambutan hangat daripada pelanggan sejak Jumaat lalu.

Menurut peniaga Norhasikin Rambli 37, urus niaga yang dijalankan di situ berjalan lancar sesuai dengan matlamat yang disasarkan.

“Kami beroperasi di sini sejak semalam dan aktiviti diteruskan sehingga Sabtu dan Ahad pada setiap minggu.

“Sebelum ini, saya juga menjalankan perniagaan di Pasar Malam Dewan Suarah dan turut menjual barang terpakai seperti baju dan seluar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Suara Sarawak di Karnival Belia Niaga anjuran Biro Ekonomi N8 Satok, di Kompleks Belia dan Sukan di sini, semalam.

Menurutnya, langkah itu membantu golongan belia dan peniaga menambah pendapatan keluarga untuk meneruskan kehidupan.

Jelas Norashikin, dia bersyukur dengan hasil pendapatannya, meskipun keadaan negara masih belum reda daripada Covid-19.

“Saya tetap mempunyai pelanggan selepas tamat tempoh PKP kerana saya menjalankan perniagaan dalam atas talian pada tempoh PKPB dan juga PKPP.

“Bagaimanapun, saya tidak mengabaikan keselamatan dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dalam urusan jual beli dengan pelanggan,” katanya lagi.

Beliau yang menjual barangan terpakai turut mengalu-alukan pelanggan untuk melayari laman Facebook dan Instagram afrin’scaboodle atau hubungi 014-9117938 untuk maklumat lanjut.