MIRI: Seramai 18 individu lelaki warga Vietnam ditemui hasil tangkapan terhadap sebuah bot asing dipercayai memasuki perairan Malaysia secara haram pada jarak sekitar 135 Batu Nautika dari Tanjung Baram, pada Jumaat.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Miri Kapten Md Fauzi Othman berkata, bot terbabit ditemui ketika pasukannya sedang melaksanakan Ops Naga Timur sekitar jam 12.30 pagi di sekitar perairan berkenaan.

Menurutnya, kesemua kru termasuk tekong bot yang ditahan masing-masing berusia lingkungan 19 hingga 40 tahun.

“Hasil pemeriksaan didapati mereka(suspek) gagal mengemukakan sebarang dokumen sah untuk menjalankan sebarang aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

“17 individu yang ditangkap turut didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

RAMPAS… bot nelayan Vietnam ditangkap pada jarak 135 batu nautika dari Tanjung Baram

Tambahnya, kesemua individu terbabit bersama bot yang ditahan telah dibawa sambil diiringi pihak penguat kuasa ke jeti Pusat Tahanan Vesel untuk tindakan lanjut.

Beliau turut mengesahkan kesemua kru bot tersebut telah menjalani ujian saringan Covid-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) sebagai langkah berjaga-jaga.

Ujarnya, kes kini masih dalam siasatan di bawah Akta Perikanan 1985.

Fauzi dalam pada itu turut menggesa orang awam dapat bersama memberikan maklumat terhadap sebarang aktiviti jenayah yang berada di perairan negara.

“Aduan boleh disalurkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Sarawak di talian 082-432544,” katanya lanjut.