KUCHING: Seramai 300 ahli melibatkan peserta terdiri daripada Persatuan Berbasikal Kuching menyertai program Kayuhan Ambang Kemerdekaan di laluan Lebuh Raya Kuching-Serian berjarak 63 Kilometer, hari ini.

Presiden Persatuan Berbasikal Sarawak Datuk Benjamin Hasbie berkata, program pertama kali diadakan itu bersempena memperingati Hari Kebangsaan Ke-63.

Menurut beliau, laluan jalan raya yang diambil dari Matang Jaya ke Serian dipilih bagi memperagakan keindahan pembangunan sosial yang telah kian rancak di kawasan sekitar Kuching.

“Objektif kayuhan ini adalah berlandaskan penglibatan pengayuh daripada berbilang bangsa di samping menunjukkan pembangunan baharu yang giat dijalankan di Sarawak.

“Inspirasi kita juga adalah untuk menyemarakkan lagi semangat orang ramai tentang hari kemerdekaan,” jelasnya dalam sidang media di pekarangan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) Malaysia Sarawak, hari ini.

Sementara itu, Pengarah JPJ Sarawak Mohd Syafiq Anas Abdullah menggesa agar peserta mematuhi arahan yang diberikan oleh agensi penguat kuasa yang terlibat bagi memastikan perjalanan program dapat berjalan dengan lancar.

MERIAH… peserta-peserta kayuhan bergambar bersama-sama

Jelasnya, beberapa anggota JPJ turut dikerahkan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Marshal yang telah dilantik dalam mengawal keadaan lalu lintas sepanjang aktiviti kayuhan dijalankan.

Tambahnya, pihaknya turut menyediakan lori dan motokar sebagai bantuan untuk membawa mana-mana ahli peserta yang mengalami kecederaan ataupun kerosakan pada basikal.

Beliau bagaimanapun mendedahkan anggota pengiring konvoi (Marshal) sebenarnya adalah tidak dibenarkan untuk menahan kenderaan lalu lintas khususnya ketika berada di kawasan lampu isyarat.

“Sememangnya kita menggalakkan marshal yang terlatih sahaja terlibat dan taklimat awal telah diberikan kepada mereka bagi membantu dan memastikan pengayuh selamat.

“Sepatutnya mereka(marshal) yang dipilih diberi latihan oleh agensi penguat kuasa khususnya polis yang mahir dari segi pemanduan serta anggota JPJ dari segi khidmat nasihat.

“Untuk itu, pematuhan keselamatan jalan raya perlu diutamakan. Sekiranya berlaku apa-apa yang tidak diingini, anggota JPJ akan berada di lokasi untuk membantu,” katanya lagi.

Beliau selain itu menyeru kepada pengayuh untuk mematuhi prosuder operasi standard(SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan sepanjang aktiviti masih berjalan.

Ujarnya, pengayuh turut dinasihatkan untuk mengamalkan penjarakan fizikal agar tidak terlalu rapat atau berkembar secara berkumpulan berikutan takut mengganggu perjalanan kenderaan lain termasuk kereta dan juga lori.