KUCHING: Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) memperkenalkan satu lagi program ekopelancongan di Tanah Rizab Alam Semula Jadi Sama Jaya sebagai daya tarikan baharu kepada pengunjung.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihaknya bangga dengan kejayaan SFC menjaga kawasan seluas 38 hektar itu dengan cukup baik.

“Hari ini (semalam), kita menyelesaikan satu program yang cukup menarik yang diatur oleh SFC di salah sebuah perhutanan dalam bandar.

“Kita tahu, tempat ini menjadi tumpuan ramai pengunjung terutamanya bagi mereka yang meminati aktiviti rekreasi pada awal pagi dan petang,” katanya.

Beliau berkata demikian setelah melancarkan program ekopelancongan baharu seperti berjalan kaki di hutan bandar di kawasan Rizab Alam Semula Jadi di Sama Jaya, semalam.

Menurutnya, penyediaan kemudahan dan beberapa pengubahsuaian membolehkan pengunjung menikmati suasana alam semula jadi secara langsung pada sebelah malam.

Melalui aktiviti tersebut, pengunjung dapat melihat spesies seperti katak, lemur terbang burung dan banyak lagi yang hanya keluar pada waktu malam.

“Terdapat banyak tempat pelancongan yang ingin kita kembangkan dengan kerjasama SFC untuk meningkatkan pelancongan domestik di negara ini.

“Dengan keadaan wabak masih belum reda, kita sentiasa mencari jalan terbaik untuk memanfaatkan sektor ekonomi sedia ada tanpa mengabaikan jumlah pengunjung yang telah ditetapkan,” katanya lagi.

Pakej itu dengan bayaran RM50 untuk setiap peserta dibuka pada Isnin, Rabu dan Jumaat.

Untuk maklumat lanjut, hubungi talian 082-365194 atau VIC di talian 082-248088.