SIMUNJAN: Bagi mereka yang rindu akan alam semula jadi dan ingin lari daripada kesibukan kota, Sungai Rian merupakan pilihan terbaik.

Anda tidak perlu memasang muzik, kerana siulan pelbagai spesies burung dan deruan air terjun sudah cukup sebagai ‘hidangan‘ halwa telinga.

Sungai Rian di Kampung Kepayang, Ulu Simunjan di sini merupakan satu lagi tarikan baharu di negeri ini sebagai destinasi unik yang cukup menarik untuk dikunjungi pada hujung minggu atau cuti umum.

Ia bukan sahaja kaya dengan flora dan fauna, tetapi turut memiliki aura alam semula jadi serba lengkap untuk pelancong tempatan mahupun asing.

Air sungai mengalir jernih, air terjun dari Bukit Muas, di samping pokok buah-buahan, seperti durian serta tanaman lada hitam di persekitarannya, melengkapkan landskap kawasan ini.

Penghulu Kampung Kepayang, Albert Nyawin menjelaskan Sungai Rian menjadi tumpuan penduduk tempatan, serta dari bahagian lain terutama Kuching setiap hujung minggu dan cuti umum.

“Ramai orang ke sini untuk berkelah atau bersantai bersama-sama keluarga.

Saya percaya, jika dimajukan lagi, kawasan ini mampu menarik lebih ramai pengunjung dari luar,” ujarnya.

Oleh itu, beliau bersama-sama empat tuai rumah dari Kampung Kepayang Lama, Kampung Kepayang String, Kampung Kepayang Berangan dan Kampung Kepayang Setia Jaya telah mengemukakan cadangan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri serta Adun Simunjan, Awla Dris yang turut mengunjungi kawasan tersebut.

Malah Nancy sendiri kagum melihat keunikan Sungai Rian yang dianggapnya mempunyai potensi besar sekiranya dibangunkan.

Katanya, ia boleh membantu meningkatkan ekonomi penduduk tempatan.

Menurut Albert Nyawin, selain bersantai, pengunjung juga boleh membeli buah-buahan di sini.

“Malah ketika musim durian, mereka boleh makan di sini sambil menikmati panorama indah di persekitaran.

“Oleh itu, adalah menjadi harapan kami selaku Jawatankuasa Tapak Perkhemahan Sungai Rian, agar kawasan ini dapat dimajukan, sebagai salah satu destinasi pelancongan menarik di Sarawak dan Malaysia,” ujarnya.

“Sungai ini telah wujud sejak lebih 300 tahun. Dahulu ia menjadi laluan perhubungan utama penduduk untuk keluar dari kawasan ini,” jelasnya.

Albert Nyawin menambah, cadangan peruntukan untuk menaik taraf kawasan tersebut adalah sekitar RM250,000, termasuk kos untuk jalan raya, papan tanda, bilik persalinan, tandas dan sebagainya.

Sementara itu, Pegawai Tadbir Majlis Daerah Simunjan, Oldrige Ripat Eric, berharap kawasan tersebut dapat dimajukan dalam masa terdekat ini.

“Ia bukan sahaja lokasi menarik untuk berkelah, bersantai tetapi juga akan memberikan pulangan ekonomi kepada penduduk di sini.

Inilah peluang mereka untuk menjual hasil tanaman, mahupun produk makanan atau kraf tangan.

“Pada masa yang sama, ia merupakan sebahagian daripada usaha untuk memulihara alam sekitar.

Ia wajar dikekalkan untuk tatapan generasi kini dan masa akan datang,” jelas Oldrige.