KUCHING: Pendidikan di kawasan Dun Pantai Damai terus menjadi tumpuan untuk melahirkan golongan bijak pandai secara berterusan.

Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia selaras dengan sasaran yang ditetapkan sejak 90-an lagi untuk melahirkan sekurang-kurangnya seorang graduan dalam sebuah keluarga.

Sehubungan itu menurutnya, kerjasama antara wakil rakyat, pemimpin masyarakat, kepimpinan sekolah, PIBG dan badan bukan kerajaan (NGO) di kampung sentiasa dijalin untuk memantapkan bidang pendidikan.

“Sejak sekian lama kami di Pantai Damai sentiasa memberi tumpuan khusus kepada bidang pendidikan.

“Pelbagai usaha telah kita laksanakan agar anak-anak di kawasan kita dapat menimba ilmu dan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan IPT Bagi Kawasan Dun Pantai Damai semalam.

Menurutnya, seramai 82 pelajar menerima sumbangan dalam majlis yang diadakan secara dua sesi.

“Saya bangga melihat semakin ramai pelajar dari kawasan Dun Pantai Damai berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT,” ujarnya.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, setiap pelajar yang terpilih melanjutkan pengajian di IPT tempatan atau luar negara perlu bijak menentukan hala tuju masing-masing.

“Terdapat pelbagai simpang jalan akan dilalui, jadi kita perlu sentiasa bersedia dan bijak menentukan karier untuk masa depan,” jelasnya.

Menurutnya, kejayaan bergelar graduan dan menamatkan pengajian penting untuk menjadi contoh kepada keluarga masing-masing supaya berusaha untuk berjaya.

“Kita akan menjadi contoh kepada adik-beradik dan keluarga.

“Jadi kita tidak sepatutnya mensia-siakan peluang ketika berada di IPT,” tambahnya.