TATAU: Sektor pertanian mampu menjana pendapatan lumayan, kata Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip.

Menurutnya, sektor pertanian juga penting dalam pembangunan kerana dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar.

“Justeru pertanian seharusnya dikomersialkan dan bukan lagi untuk cukup makan sahaja bagi diri dan keluarga.

“Ini kerana pertanian mampu memberi impak besar kepada pendapatan kita, selain mempunyai permintaan yang luas di pasaran, baik dari dalam mahupun luar negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan penutupan Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) di Rumah Vincent Unjie, Sungai Semanok, semalam.

Kata Adun Jepak itu lagi, kerajaan kini berusaha menggalakkan petani menggunakan teknologi itu sebagai alternatif kepada sistem konvensional yang dijamin dapat menghasilkan pengeluaran tanaman berkualiti.

“Ini sejajar dengan hasrat Kerajaan Sarawak untuk terus memperkasakan bidang pertanian melalui pelbagai pendekatan bagi memastikan sektor penting ini terus berkembang,” tambahnya lagi.

Beliau berharap projek Tabung Kemudahan Pertanian (AFF) yang dilaksanakan di kawasan Dun Jepak akan memberikan impak positif kepada peserta yang terlibat dalam program transformasi ekonomi anjuran Jabatan Pertanian Sarawak.

“Saya difahamkan AgriCop ini akan dilaksanakan melalui program jerayawara di beberapa tempat lagi di kawasan Dun Jepak

“Terima kasih Jabatan Pertanian Bintulu kerana terus memberikan perkhidmatan terbaik dan mendekati rakyat khususnya petani di kawasan Dun Jepak,” jelas Talib lagi.