KUCHING: Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim dipilih sebagai penerima Anugerah Datuk Patinggi Laila Taib bagi mengiktiraf sumbangannya sempena sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri di sini semalam.

Ketika ditemui pemberita, Penasihat Khas kepada Ketua Menteri itu amat teruja dengan anugerah tertinggi Kerajaan Sarawak kepada golongan wanita di negeri ini.

“Saya sering menasihati kaum wanita maju ke depan untuk merebut peluang dan ruang yang telah disediakan oleh kerajaan.

“Wanita sebenarnya memiliki banyak kemahiran tetapi tidak berani maju ke depan,” katanya yang turut membawa pulang trofi, sijil dan wang tunai RM5,000.

Tambahnya, semasa pandemik Covid-19, banyak wanita terpaksa maju ke depan demi keluarga dengan mengasah pelbagai kemahiran yang dimiliki.

“Dalam era digital ini, ramai wanita menggunakan secara berhemah untuk mencari pendapatan sampingan dengan berniaga dalam talian,” katanya.

Sementara itu, penerima Anugerah Ketua Menteri Kepimpinan Wanita Datuk Norhyati Mohd Ismail pula berkata, ia merupakan pengiktirafan untuknya yang berkecimpung dalam bidang komunikasi dan digital.

Pesara daripada RTM yang kini dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Finas bagi mewakili Sarawak itu berikrar untuk terus memberi sumbangan kepada negeri ini dalam bidang berkenaan.

“Saya bertuah kerana dikelilingi oleh orang yang bersemangat ketika menabur bakti di peringkat persekutuan dan negeri.

“Selepas bersara dari RTM, khidmat saya diperlukan oleh Kerajaan Negeri dan Ukas merupakan salah satu jabatan yang saya tubuhkan,” jelasnya.

Menurutnya, tidak lama lagi ada khabar gembira buat rakyat Sarawak dengan penubuhan satu lagi kumpulan media.

“Pengiktirafan ini pendorong untuk saya menabur khidmat demi masyarakat,” ujarnya. Beliau membawa pulang sijil, trofi dan wang tunai RM3,000. Sementara itu, Anugerah Ketua Menteri Penggiat Sosial Wanita diterima oleh Mary Tay Siew Geol; Anugerah Ketua Menteri Wanita diterima oleh Kansar Karar dan Anugerah Khas Ketua Menteri (Bidang Digital) diberikan kepada Dr. Rashidah Bolhassan.

Ketiga-ketiga mereka menerima sijil, trofi dan wang tunai RM3,000.

Anugerah Ketua Menteri Pertubuhan Cemerlang diterima oleh Persatuan Sosial Purple Lily yang membawa pulang sijil, trofi dan wang tunai RM10,000.

Anugerah disampaikan oleh isteri Yang di-Pertua Negeri Toh Puan Ragad Kurdi Taib dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, semalam.