BETONG: Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berperanan meleraikan kekeliruan dalam masyarakat yang timbul akibat cerita-cerita bohong.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, menjelang pilihan raya banyak isu sengaja dibangkitkan misalnya tentang Seksyen 6 dan Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.

“Berjaga-jagalah kerana berita mampu terbang jauh, cepat dan dalam satu saat boleh sampai ke seluruh dunia.

“Ketua di peringkat kampung dan rumah panjang mesti memainkan peranan.

“Kalau kita senang dihasut akan menyebabkan masyarakat berpecah-belah

“Rakyat akan susah khususnya apabila masalah timbul daripada cerita tidak benar.

“Misalnya, cerita berkenaan penyukatan tanah.

“Ada seorang pemimpin ke hulu ke hilir menghasut masyarakat agar jangan menyukat tanah di bawah Seksyen 6 sambil mendakwa kelak akan menjadi tanah kerajaan.

“Justeru, fungsi JKKK dalam hal ini amat penting untuk memastikan rakyat benar-benar faham tentang inisiatif kerajaan untuk menyukat di bawah Seksyen 6 terlebih dahulu sebelum Seksyen 18,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bengkel Kepolisan Komuniti Untuk JKKK Bahagian Betong di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, semalam.

Jelasnya, pada 2010 hanya 250,000 hektar tanah dapat disukat menggunakan Seksyen 18 dalam tempoh 50 tahun.

“Ketika itu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak tidak kurang 1.5 juta hektar.

“Jadi, kalau kaedah itu masih digunakan, masalah akan menjadi lebih teruk kerana kita tidak dapat mengenal pasti mana satu tanah NCR, mana satu tanah kerajaan.

“Sebab itu kerajaan memutuskan menggunakan Seksyen 6 dan Seksyen 18. “Apabila diletak di bawah Seksyen 6, kesemua tanah tersebut diwartakan sebagai NCR.

“Banyak sudah diceritakan tetapi ada yang enggan memahami.

“Sebanyak 970,000 hektar tanah NCR sudah diiktiraf oleh kerajaan dan daripada itu kira-kira 750,000 hektar sudah diletak di bawah Seksyen 6.

“Tiada istilah kerajaan mengambil tanah, malah jika digunakan untuk pembangunan akan dibayar pampasan yang setimpal,” ujarnya.

Uggah menambah, sebelum melakukan penyukatan, Jabatan Tanah dan Survei akan meminta persetujuan masyarakat atau pemilik terlebih dahulu.

Adun Layar Gerald Rentap Jabu; Adun Saribas Mohammad Razi Sitam; Adun Beting Maro Razaili Gapor dan Residen Bahagian Betong Friday Belik antara yang turut hadir.