SARIKEI: Seramai 44 ahli PKR Rumah Trieh Sigat Sare di sini mengumumkan keluar parti itu dan menyertai Parti PBB.

Borang keahlian diserahkan kepada Ketua PBB Cawangan Kuala Rajang Datuk Len Talif Salleh, semalam.

Bekas ahli PKR Gera Ugeh berkata, mereka kurang yakin dengan perjuangan PKR dan menyifatkan tindakan menyertai parti itu sebagai satu kesilapan.

“Kami keluar PKR kerana nampak ketidakseimbangan selain berasakan ia kesilapan dan kami menyerti PBB semula.

“Kami yakin terhadap kemampuan GPS membangunkan kawasan ini lebih-lebih lagi dengan kewibawaan Datuk Len Talif Salleh sebagai wakil rakyat kami di kawasan ini,” katanya kepada media.

Beliau berkata, GPS banyak berjasa kepada penduduk di kawasan itu dengan menyalurkan pelbagai projek berimpak tinggi untuk manfaat rakyat.

Katanya, projek itu termasuk pembinaan jalan raya, penyediaan bekalan elektrik dan air bersih.

“Semoga penduduk kampung memberi sokongan kepada calon GPS lebih-lebih lagi dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Dalam pada itu Len Talif yang juga Adun Kuala Rajang menyifatkan sokongan semula penduduk rumah panjang tersebut kepada PBB sebagai tindakan tepat.

Katanya, tindakan bijak itu juga memudahkan usaha kerajaan untuk menyalurkan pembangunan di kawasan berkenaan.

“Yang kita lakukan hari ini merupakan usaha untuk merapatkan jurang perbezaan tuai rumah dan rakyat setempat.

“Kita akui dalam politik ini memang banyak kerenah, yang penting kita memberi penjelasan kepada warga di sini supaya mereka memahami polisi kerajaan.

“Saya gembira dengan perkembangan ini dan berharap sokongan padu bagi memastikan GPS meraih kemenangan besar dalam pilihan raya kelak.

“Mulai sekarang, kita perlu melangkah seiring dan sebarang pertikaian perlu diselesaikan secara muafakat,” katanya.