KUCHING: Peristiwa mendaki tiga sekawan berakhir tragedi setelah salah seorang daripadanya maut dipercayai sesak nafas ketika terkandas di aras 4.5 gunung Santubong, semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, ketiga-tiga pendaki yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita pada awalnya dilaporkan masih berada di puncak gunung itu sekitar jam 5.20 petang.

Menurutnya, salah seorang mangsa lelaki, 24, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri manakala dua lagi mangsa selamat ketika ditemui pasukan operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Petra Jaya di lokasi terbabit.

“Anggota operasi pada awalnya bertindak melakukan CPR terhadap mangsa namun tiada sebarang reaksi dan tindak balas daripada mangsa.

“Mangsa seterusnya dibawa turun melalui kawasan curam dengan menggunakan pengusung oleh pasukan operasi dengan mengambil masa hampir dua jam untuk sampai.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 9.16 malam setelah diperiksa oleh petugas kesihatan,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Ujarnya, operasi menyelamat ketiga-tiga mangsa terkandas di gunung Santubong tamat sepenuhnya pada jam 9.47 malam.

Terdahulu, beberapa agensi terdiri daripada dua pegawai polis, empat petugas Kementerian Kesihatan Malaysia dan empat Pasukan Bomba Sukarelawan Buntal turut hadir bagi membantu operasi menyelamat.