SANDAKAN: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memberi jaminan jumlah penjawat awam seramai 1.6 juta di seluruh negara tetap dikekalkan meskipun sistem kerajaan elektronik (e-kerajaan) dilaksanakan.

Beliau berkata ini kerana penjawat awam masih diperlukan untuk melakukan tugas-tugas lain bagi meningkatkan lagi keberkesanan penyampaian perkhidmatan, justeru tidak timbul isu pengurangan jumlah sedia ada.

“Sebagai contoh, sebelum ini ada tiga orang untuk satu tugas, tetapi apabila e-government (e-kerajaan) dilaksanakan, hanya seorang akan menjalankan tugas itu, manakala dua orang lagi boleh buat tugas yang lain,” katanya pada satu majlis perjumpaan bersama penjawat awam Sandakan di sini.

Menurut Muhyiddin, penggunaan teknologi sememangnya tidak boleh dielakkan, namun pada masa sama tenaga penjawat awam diperlukan untuk meningkatkan lagi produktiviti dan kualiti perkhidmatan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan seorang penjawat awam yang ingin tahu sama ada bilangan tenaga kerja sektor  awam sedia ada akan dikurangkan jika sistem e-kerajaan dilaksanakan.

Muhyiddin bagaimanapun mengakui akan terdapat perubahan dalam tugas penjawat awam apabila sistem tersebut dilaksanakan, namun teknologi itu akan memberi nilai tambah kepada penyampaian perkhidmatan.

Katanya beliau juga berpuas hati dengan prestasi penjawat awam, namun yakin mutu dan prestasi dapat ditingkatkan lagi sejajar dengan perkembangan semasa.

Muhyiddin berada di Sabah dalam rangka lawatan rasmi dua hari bermula semalam.– BERNAMA