KUCHING: Kerajaan Sarawak bersedia memberi bantuan kepada usahawan wanita yang tercicir daripada menerima sebarang bantuan berikutan Covid-19 sama ada di peringkat persekutuan dan negeri.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Jawatankuasa Setiausaha Negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) untuk melihat perincian pemohon serta membuat tapisan bagi mengelakkan tuntutan berganda.

“Usahawan wanita tercicir daripada menerima Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 2.0 dan Geran Khas Prihatin (GKP) kerana mensyaratkan pemohon memiliki lesen dan permit perniagaan.

“Kebanyakan usahawan wanita tidak mempunyai lesen dan permit perniagaan kerana menghasilkan produk dari rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri yang dihadiri oleh isteri Yang di-Pertua Negeri Toh Puan Ragad Kurdi Taib di BCCK semalam.

Isteri Ketua Menteri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang turut hadir.

Terdahulu, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, susulan pandemik Covid-19, Kerajaan Sarawak menukar geran tahun ini kepada bentuk tunai sebagai modal pusingan bernilai RM2,000 bagi setiap usahawan wanita yang perniagaannya terjejas semasa PKP dan PKPB.

“Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM500,000 kepada usahawan wanita pada 2018 dan meningkat kepada RM1 juta (2019) serta RM2 juta untuk tahun ini.

“Perubahan dalam pendekatan pemberian geran hasil kajian ke atas 415 usahawan wanita apabila 295 orang (71 peratus) daripadanya mengalami masalah kewangan untuk meneruskan perniagaan dan 234 orang (56 peratus) hilang punca pendapatan semasa PKP,” jelasnya.

Tambahnya, keadaan ini menggambarkan ramai usahawan wanita terkesan dengan PKP dan modal pusingan perniagaan amat diperlukan pada waktu ini.

“Dengan pendekatan ini, geran RM2 juta akan memanfaatkan 1,000 usahawan wanita bagi tujuan meneruskan perniagaan mereka.

“Bagaimanapun, setakat 30 Julai lalu, JWKS menerima sebanyak 10,921 permohonan untuk geran tersebut,” ujarnya.

Menurut Fatimah, menyedari ramai usahawan wanita tercicir daripada menerima bantuan ini kerana tidak memiliki lesen dan permit perniagaan, pihaknya memutuskan untuk mengadakan Program Petugas Khas Pendaftaran Perniagaan dan Lesen Dagangan Usahawan Wanita Sarawak (#PUWaS).

“Ini merupakan langkah proaktif JWKS bersama-sama beberapa agensi berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (Mintred), pihak berkuasa tempatan (PBT), Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Pejabat Daerah.

“Fokus utama petugas khas ini sebagai konsultasi pendaftaran perniagaan dan lesen dagangan yang disyaratkan oleh agensi berkaitan bagi membolehkan usahawan wanita mendapatkan lesen dan permit,” katanya.