KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menyemak semula peranan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum di negeri ini bermula tahun hadapan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, terdapat beberapa kriteria dan perkara berkaitan peranan ketua kaum perlu disemak semula.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak baru-baru ini meluluskan 1,064 jawatan pemimpin masyarakat itu untuk rumah panjang. “Kini, selepas memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar, kita juga ingin memberi perhatian kepada kawasan bandar supaya tidak wujud isu kekurangan ketua masyarakat di sesuatu kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan dan Penyampaian Sijil KMKK di Pejabat Residen Bahagian Kuching di sini, kelmarin.

Jelasnya, proses menyemak semula peranan pemimpin masyarakat memerlukan sedikit masa lagi bagi mengenal pasti kriteria yang sesuai dan layak terutama bagi kawasan taman perumahan.

“Pada tahun hadapan, kita akan mengambil masa dan berbincang sebelum memutuskan peranan setiap KMKK di Sarawak. “Oleh itu, saya harap tiada lagi isu tidak cukup KMKK di kawasan bandar seperti Kuching dan sebagainya,” katanya. Kui Hian turut berkata, peranan ketua masyarakat dan ketua kaum hari ini sangat penting.

“Mereka perlu memberi perkhidmatan kepada orang ramai serta menjalin hubungan dengan komuniti. “Malah, banyak lagi projek pembangunan dan program akan dilakukan oleh kerajaan yang memerlukan kerjasama daripada rakyat.

“Jadi, mereka berperanan membantu kerajaan dalam merealisasikan impian memajukan Sarawak,” katanya. Jelasnya lagi, projek pembangunan seperti bekalan air, jalan raya dan elektrik sedang giat dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak dan bakal siap pada 2025.

“Sebab itu, kerjasama daripada semua pihak sangat penting untuk mencapai tujuan ini,” katanya. Semalam, John Tiong Fat Chong dilantik sebagai Pemanca Bandar Raya Kuching setelah jawatan tersebut dikosongkan sejak Januari lalu.

Selain John, turut dilantik semalam ialah Penghulu Phang Jee Kin, Kapitan Chai Ming Chin,Kapitan Chew Joon Fah dan Kapitan Tan Gun Kee.

KMKK di seluruh Sarawak kini seramai 357 orang termasuk temenggung, pemanca, ketua kaum, kapitan dan tuai rumah. Turut hadir Residen Bahagian Kuching Sherrina Hussaini dan Pegawai Daerah Kuching Awang Yusup Awang Mostapha