KUCHING: Orang ramai diberi masa hingga 30 September bagi memperbaharui semula Lesen Kenderaan Motor(LKM) dan Lesen Memandu Malaysia(LMM) yang telah tamat tempoh.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) Sarawak Mohd Syafiq Anas Abdullah berkata, tindakan itu dilakukan susulan pengecualian pembaharuan lesen terbabit semasa Perintah Kawalan Pergerakan akan ditamatkan dalam masa terdekat.

Menurutnya, tindakan saman bagaimanapun akan tetap dikenakan terhadap pengguna jalan raya yang didapati gagal mengemukakan insurans sah kenderaan.

“Rekod pemandu dan pengguna jalan raya akan diambil bagi memastikan mereka memperbaharui lesen pada masa yang telah ditetapkan hingga 30 September selama sebulan.

“Walaubagaimanapun, pihak kita tidak akan berkompromi sekiranya mereka didapati tidak memperbaharui insurans kenderaan masing-masing sama ada kereta, motosikal, ataupun pengangkutan perkhidmatan awam,” jelasnya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat JPJ Sarawak, hari ini.

Susulan itu katanya, orang ramai boleh membuat pembaharuan lesen dan juga pembayaran saman di Ibu pejabat JPJ Kuching serta di bangunan Pusat Transformasi Bandar(UTC).

Tambahnya, pejabat JPJ akan beroperasi setiap hari mengikut waktu pejabat manakala hujung minggu akan dibuka mulai jam 8 pagi hingga 1 petang.

Beliau turut mendedahkan diskaun 70 peratus kini turut diberikan terhadap saman-saman yang boleh dikompaun sempena Hari Kebangsaan tahun ini.

Syafiq selain itu turut mengesahkan sejumlah RM218,556.10 nilai saman berjaya dikumpul hasil operasi penguatkuasaan JPJ di seluruh Sarawak dalam tempoh 1 Ogos 2020 hingga 27 Ogos, tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 37,051 kenderaan yang telah diperiksa manakala sebanyak 9,554 jumlah kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan trafik dikenal pasti ketika melakukan operasi.