BETONG: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang menjadi benteng terakhir mengekang penularan Covid19 disaran mendaftarkan sesiapa sahaja khususnya orang luar yang berkunjung ke rumah panjang atau kampung seperti dilaksanakan di pusat komersial.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penjarakan fizikal dilihat sukar dilaksanakan terutama pada majlis perkahwinan, kematian dan sebagainya di kampung dan rumah panjang.

“Jadi, kita terdedah dengan keadaan sesak dan pastinya amalan penjarakan fizikal sukar dipraktikkan.

“Sesiapa sahaja yang datang berkunjung ke rumah panjang atau kampung harus mendaftarkan nama dan nombor telefon dengan JKKK.

Ini penting supaya mereka senang dijejaki jika terdapat kes positif Covid-19 di kawasan tersebut.

“Apabila ada majlis atau upacara sedemikian, ramai yang datang… ada dari luar, dari kampung atau jiran rumah panjang berdekatan yang tidak diketahui latar belakangnya.

“Saya bersetuju dengan cadangan Adun Layar Gerald Rentap Jabu agar langkah sedemikian dilaksanakan oleh semua JKKK,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bengkel Kepolisan Komuniti Untuk JKKK Bahagian Betong di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, semalam.

Jelasnya, usaha tersebut semakin mudah dengan adanya aplikasi yang diperkenalkan seperti MySejahtera.

Beliau dalam pada itu mengingatkan JKKK agar memastikan tiada individu luar yang masuk ke rumah panjang atau kampung lebih-lebih lagi dari sempadan.

“Selain itu, terus mematuhi segala prosedur operasi standard yang ditetapkan,” katanya.

Jelasnya lagi, biarpun pemerkasaan JKKK melalui kepolisan komuniti memberi tumpuan mengekang penularan Covid-19, mereka harus memberi tumpuan terhadap beberapa isu lain.

“Antaranya gejala dadah, denggi, rabies dan penyebaran cerita palsu.

“Sebab itu dalam Bajet Sarawak 2020, JKKK diperuntukkan RM100 juta untuk proses pemerkasaan agar dapat memainkan peranan membangun dan membantu kerajaan mengurus kawasan masingmasing.

“Justeru, saya berharap semua ahli JKKK menghayati sepenuhnya kandungan Bengkel Kepolisan Komuniti selama sehari ini,” ujarnya.

Sebanyak 23 sesi Bengkel Kepolisan Komuniti melibatkan 660 JKKK dengan 3,300 ahli akan dilaksanakan di semua daerah dan daerah kecil di Betong sehingga 17 Oktober depan.

Adun Layar Gerald Rentap Jabu; Adun Saribas Mohammad Razi Sitam; Adun Beting Maro Razaili Gapor dan Residen Bahagian Betong Friday Belik antara yang turut hadir.