KUCHING: Seramai 300 penduduk Kampung Segedup dari pelbagai peringkat umur menyertai Kayuhan Kembara Merdeka bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 hari ini.

Program ini merupakan anjuran bersama oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Segedup, Parti Persaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kampung Segedup, Rukun Tetangga Kampung Segedup dan Persatuan Geng Basikal Otai Segedup.

Tujuan Kayuhan Kembara Merdeka ini diadakan bagi menyuntik semangat patriotisme dikalangan peserta sempena Hari Kebangsaan.

Timbalan Pengerusi PBB Satok, Datuk Ibrahim Baki turut hadir pada program tersebut bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan.

Ibrahim bersama Ketua Pemuda PBB Satok, Dzamaluddin Zainudin dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Ahmad Samad Gany turut menyertai peserta mengayuh basikal yang telah dipasang bendera Jalur Gemilang dan bendera Sarawak mengelilingi Kampung Segedup.

Ketika ditemui pemberita, Ibrahim berkata program yang diadakan pada hari ini merupakan satu contoh yang baik diadakan oleh penduduk Kampung Segedup.

Katanya, hari bersejarah ini disambut bagi mengenang jasa dan pengorbanan pejuang negara yang berkorban untuk negara demi kebebasan dan keharmonian agar generasi hari ini dapat menikmati kebebasan.

“Kita bukan sahaja menyambut kebebasan, ini juga memaparkan perpaduan dikalangan masyarakat kita dan mengingati pengorbanan datuk nenek kita.

“Kita juga merayakan kejayaan Malaysia dan berharap kita dapat terus menyambut Hari Malaysia. Kita duduk di Malaysia, ada pihak yang menyoal pembentukan Malaysia. Kita tidak akan keluar dari Malaysia, kita akan kekal menjadi rakyat Malaysia dimana walauapapun,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Kaum Kapung Segedup, Rashidi Solek, berkata program ini merupakan julung kali diadakan sempena Hari Kebangsaan.

Menurut Rashidi, melalui program Kayuhan Kembara Merdeka ini, ia dapat menarik minat kalangan belia-belia untuk menyambut Hari Kebangsaan dengan semangat patriotik.

Katanya, bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPP, peserta dihadkan kepada 200 hingga ke 300 orang dan diingatkan untuk mematuhi SOP seperti penjarakan fizikal dan menggunakan pelitup muka.

Tambahnya lagi, pihaknya akan menganjurkan program yang sama untuk sambutan Hari Malaysia pada 16 September nanti.