PADAWAN: Sebanyak 36 saman dikeluarkan dalam sekatan jalan raya Ops Motosikal dan Samseng Jalanan Ambang Merdeka 2020 Bersepadu di sini, malam tadi.
 
Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata operasi dijalankan di Jalan FAC Matang dan Jalan Stephen Yong oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Padawan bermula jam 4 petang sehingga 11.30 malam.
 
“Kesemua saman dikeluarkan hasil daripada pemeriksaan ke atas 136 buah kenderaan (85 motosikal, 43 kereta, 4 MPV dan 4 lori) iatas pelbagai kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
 
Pada masa sama, Aidil berkata operasi turut menangkap seorang lelaki berusia 29 tahun kerana terlibat dalam kegiatan lumba haram di Jalan FAC Matang di sini.
 
Bagaimanapun, katanya rakan-rakan lelaki berusia 29 tahun itu berjaya meloloskan diri.
 
“Keadaan lalu lintas terkawal di lokasi dan tiada perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Ops Motosikal dan Samseng Jalanan Ambang Merdeka 2020 Bersepadu yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Padawan di Jalan FAC Matang dan Jalan Stephen Yong malam tadi.