SIMANGGANG: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yakin pembangunan rangkaian perhubungan baharu bakal membuka potensi aktiviti pertanian dan pelancongan di kawasan Sri Aman secara lebih agresif.

Katanya, pembangunan di bahagian yang menjadi lokasi pentadbiran terawal zaman Rajah Brooke itu dilihat agak perlahan berbanding kawasan lain seperti Bintulu – bandar yang mempunyai sumber perut bumi yang banyak.

“Maka, Kerajaan GPS mempunyai iltizam untuk memastikan kawasan Sri Aman agar mampu bergerak seiring dengan kawasan lain yang sudah berada di hadapan.

“Saya yakin jaringan Jalan Utama Kedua yang melewati Sri Aman melalui Sebuyau dan Lingga, terus ke Roban akan memberi suntikan yang diperlukan bagi menghidupkan suasana ekonomi yang lebih bersemangat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Mesra sempena Ambang Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri 2020 bertemakan Malaysia Prihatin di sini, malam tadi yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud.

Jelasnya, usaha untuk memajukan kawasan Sri Aman digemblengkan melalui perancangan induk Agensi Pembangunan Sri Aman (Sada). “Mereka akan melihat secara keseluruhan bagaimana Sri Aman boleh diangkat dari sudut pembangunan ekonomi. “Hal ini kerana saya percaya, kawasan Sri Aman mempunyai potensi yang baik, tetapi belum berupaya digilap. “Oleh yang demikian, usaha untuk memastikan Sri Aman mampu bergerak seperti tempat lain di negeri ini, ia harus mendapat suntikan infrastruktur,” ujarnya. Katanya lagi, potensi tanaman padi dan nanas bagi tujuan eksport begitu besar dari segi pengeluaran makanan. Bagaimanapun kata Abang Johari, ia harus dimanfaatkan secara sistematik

menggunakan teknologi dan kaedah pemasaran baharu. “Misalnya, Kerajaan Sarawak sudah mempunyai Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (Statos) di Singapura untuk menyelaraskan kegiatan perdagangan dengan Singapura. “Malah, pejabat tersebut juga dibuka di Pontianak, Kalimantan dan di Brunei untuk tujuan sama iaitu membuka pasaran bagi produk makanan dari Sarawak. “Sarawak sekarang mengeksport ikan tilapia dari Lubok Antu, khinzir, telur ayam, terung Dayak dan lain-lain ke Singapura serta banyak lagi bahan makanan yang boleh dieksport ke Singapura yang dapat memenuhi standard kualiti makanan negara itu,” jelasnya. Menyentuh mengenai sektor pelancongan, Abang Johari mengakui kawasan Sri Aman memiliki banyak tempat menarik. Sempena sambutan Hari Kebangsaan, beliau menggesa rakyat untuk saling memahami antara satu sama lain kerana ia akan memperkayakan semangat rakyat untuk membina negara lebih kukuh. Hadir sama isteri Yang di-Pertua Negeri Toh Puan Ragad Kurdi Taib, isteri Ketua Menteri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion.