SIMANGGANG: Tema ‘Malaysia Prihatin’ disifatkan sangat relevan dengan kesungguhan Sarawak melalui Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sentiasa memikirkan jalan terbaik untuk memajukan negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan selaku Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri 2020 Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sepanjang 57 tahun dalam Malaysia Sarawak berjaya mengecapi beberapa tahap pembangunan.

“GPS sebagai sebuah kerajaan yang prihatin sentiasa memikirkan usaha memajukan negeri.

“Maka, tema sambutan Hari Kebangsaan 2020 iaitu Malaysia Prihatin amat bersesuaian dan relevan, kerana Sarawak juga mengamalkan konsep Sarawak Prihatin yang mengutamakan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata demikian semasa Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri 2020 bertema Malaysia Prihatin di sini, hari ini yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Jaul Samion dan Residen Bahagian Sri Aman Indit Bangai.

Hari ini jelasnya, banyak projek mega seperti Lebuh Raya Pan Borneo, pembinaan jambatan, infrastruktur lain, pembangunan perindustrian sudah berjalan.

“Inilah yang kita harapkan supaya kita dapat menikmati lonjakan ekonomi yang lebih baik.

“Namun, dalam masa yang sama sokongan rakyat terhadap kerajaan harus diteruskan dalam memastikan kerajaan kukuh serta stabil.

“Kerana, tanpa sokongan rakyat dan kerjasama erat dengan kerajaan, apa yang dihajati sukar dicapai,” ujarnya.

Penganjuran aktiviti berjalan perpaduan tambah Karim disifatkan sebagai mengeratkan perpaduan kaum serta silaturahim antara kaum di Sarawak.

Generasi muda juga katanya harus memainkan peranan penting.