SIMANGGANG: Tanpa sistem infrastruktur yang efisien, ekonomi Sarawak tidak mampu melonjak ke tahap yang lebih tinggi dan berupaya menjadi negeri maju menjelang 2030 – kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Justeru jelasnya, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membuat banyak pelaburan bagi melengkapkan infrastruktur di seluruh Sarawak.

Katanya, pelbagai program pembangunan sedang dirancang atau dilaksanakan adalah pengisian kemerdekaan yang sebenarnya harus menjadi perjuangan utama.

“Usaha pengisian ini hendaklah berlaku dalam suasana aman damai dan harmoni dan juga dalam iklim politik yang stabil.

“Suasana yang tidak menentu akibat ketidaktenteraman sosial dan pertelingkahan politik akan mendatangkan kerugian kepada semua,” katanya.

FOTO:  Mohd Alif Noni

Beliau bercakap demikian semasa Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri 2020 bertema Malaysia Prihatin di sini, hari ini yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib.

Jelasnya, rakyat di negeri ini harus bersyukur kerana Sarawak kekal aman dan masing-masing sentiasa berusaha untuk mengekalkan perpaduan.

Abang Johari menambah, Sarawak juga prihatin seperti mana tema sambutan Hari Kebangsaan 2020

“Tema perayaan Hari Kebangsaan tahun ini ialah Malaysia Prihatin…kalau Malaysia Prihatin, Sarawak juga prihatin.

“Serupa Kerajaan Persekutuan yang menyediakan pelbagai bantuan di bawah Bantuan Prihatin Nasional, saya juga percaya rakyat Sarawak amat bertuah kerana Kerajaan GPS juga menyediakan pelbagai bantuan di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang atau BKSS 1.0, BKSS 2.0 dan BKSS 3.0.

“Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM2.55 bilion untuk melaksanakan ketiga-ketiga pakej bantuan tersebut,” jelasnya.

Terdahulu, sambutan diisi dengan tarian rentak perpaduan, tayangan video khas berjudul Wira dan Sejarah Hari Kebangsaan serta upacara menaikan Jalur Gemilang.

Selepas itu berlangsung program berjalan perpaduan sejauh 1,600 meter mengelilingi Bandar Simanggang diketuai sendiri oleh Abang Johari bersama hampir 250 penduduk sekitar.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Menteri Belia dan Sukan selaku Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri 2020 Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Jaul Samion dan Residen Bahagian Sri Aman Indit Bangai.